Istiqamah Seperti Rumput
Rumput sejenis tumbuhan yang paling mudah tumbuh, tahan lasak dan senang dipandang mata. Warnanya yang hijau memberi ketenangan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Rumput tidak berbuah, tidak mengeluarkan bunga yang berwarna-warni, tetapi manusia tetap menanamnya.
Kenapa? Apakah keistimewaan rumput?
Rumput member kekuatan pada tanah. Akarnya mencengkam dan menghalang air daripada menembusi tanah dengan mudah. Ia menghalang hakisan tanah. Sebab itu rumput ditanam di lereng-lereng cerun dan curam. Gunanya bagi menahan tanah daripada hakisan atau runtuh.
Oh, hebat! Walaupun tanah dan batu sifatnya keras, rupa-rupanya rumput yang lembut yang menahan tanah daripada runtuh, bukan pokok bunga ros yang menghasilkan bunga yang cantik atau pokok pisang yang menghasilkan buah yang banyak.
Hakikat ini mengajar kita satu perkara-iaitu jangan berasa hina diri. Walaupun kita tidak mempunyai rupa yang cantik, harta yang banyak atau kecerdasan yang tinggi, kita masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama melalui keistimewaan(kelebihan) yang kita miliki.
Ingat, Allah mencipta manusia dengan ‘keunikan’ masing-masing. Setiap orang ada keistimewaannya tersendiri. Kenali apakah keistimewaan kita dan pertingkatkan. Jadilah seperti rumput, walaupun tidak berbuah dan tidak berbunga, ia mampu menahan hakisan air.
Lembut tetapi kuat
Seperkara lagi, walaupun dipijak berulang kali, rumput masih mampu bertahan. Lembut memang lembut, tetapi kerana kelembutan itulah rumput tidak patah apabila dipijak. Ia melentur apabila dihenyak, tetapi kemudiannya kembali ke bentuk asal. Bayangkan jika rumput ‘berkeras’, pasti patah dan musnah.
Jadi, kelembutan pada rumput sebenarnya adalah satu kekuatan, bukan satu kelemahan. Kita pun begitulah…jangan terlalu berkeras atau sukar bertolak- ansur. Kita boleh tegas tetapi bukan berkeras. Ada orang yang suka berkeras, tetapi tidak tegas. Dan tidak mustahil ada juga orang yang lembut, tetapi sebenarnya sangat tegas.
Islam menganjurkan kita menjadi orang yang lemah-lembut, tetapi pada masa yang sama kita juga mesti menjadi orang yang tegas. Kita dapat belajar daripada rumput, sifatnya lembut tetapi ia tidak patah sekalipun dipijak dan dihenyak. Ingatlah bahawa bersikap lemah-lembut bukan beerti kita lemah, malah itu sebenarnya satu kekuatan.
Lihat bagaimana keperibadian para Nabi dan Rasul, terutamanya Nabi Muhammad S.A.W. Baginda begitu berlemah-lembut, tetapi pada masa yang sama sangat tegas pendiriannya. Ketika berdakwah misalnya, Nabi Muhammad pernah dilempar dengan kotoran, dituduh gila, diugut bunuh. Baginda tidak melawan, tetapi perjuangannya tetap diteruskan. Itulah ketegasan Nabi S.A.W.
Rumput juga tidak pernah tumbuh bersendirian. Sekali tumbuh, mesti bersama-sama yang lain, tompok demi tompok, kelompok demi kelompok sehingga memenuhi satu padang, lurah atau lembah. Geraknya sangat perlahan tetapi sangat konsisten. Sehari demi sehari dan akhirnya tanpa disedari, seluruh kawasan telah dilitupinya. Itulah rahsia rumput yang hidupnya sentiasa berjemaah dan istiqamah.
Kita juga mesti hidup bersatu padu dalam sebuah keluarga, organisasi dan masyarakat. Itulah hidup berjemaah namanya. Menerusi kesatuan itu, setiap orang dapat membangunkan aktiviti-aktiviti kebaikan dan kebajikan. Tidak mengapa sekiranya aktiviti-aktiviti itu hanya kecil-kecilan sahaja, asalkan ia dilakukan dengan ikhlas dan penuh istiqamah.
Jadilah seperti rumput..dengan hidup berjemaah dan bersikap istiqamah, banyak kebaikan yang dapat dibuat. Musuh pun tidak dapat menggugat.
Ya, rumput selalu dipijak, tetapi ia tidak hina. Ia selalu di bawah, tetapi bukan lemah. Sekalipun lemah-lembut, ia tidak musnah walau dipukul ribut.
Za a’am.
04.30pm
Comments
Post a Comment
Terima kasih atas teguran dan nasihat anda. Saling berpesan-pesan agar Allah kasih dan sayang pada kita semua.