Buat Kaum Hawa
BUAT KAUM HAWA...
Fenomena
isteri meleteri suami atau dengan kata lain, tidak menghormati suami,
bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa bagi kebanyakan pasangan
dewasa ini. Malah si isteri seolah-olah tiada sedikitpun merasa
bersalah melayani suami mereka seperti adik, kawan atau anak lelaki
atau sesiapa sahaja lagaknya.
Apa
yang lebih mendukacitakan ialah terdapatnya isteri yang menganggap
menjaga hati atau melayani suami dengan bersikap sopan sudah tidak
sesuai dalam keadaan masyarakat kita hari ini atau mungkin dianggap
sebagai ketinggalan zaman. Ini menunjukkan bahawa tidak sedikit peranan
dan pengaruh media massa, terutamanya televisyen, dalam ‘mendidik’ kaum Hawa di zaman ini.
Sebenarnya
keadaan ini akan menjadi model yang tidak baik terhadap pertumbuhan
jiwa anak-anak yang akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi
lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif dalam kehidupan
berkeluarga.
Terdapat
banyak nash-nash di dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang
menyatakan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selama mana isteri
tidak disuruh melakukan perkara-perkara maksiat. Antaranya ialah sabda
Rasulullah SAW: “Jika
sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang
yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya.” (HR Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang lain daripada ‘Aisyah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapa orang yang lebih berhak ke atas seorang perempuan? Baginda bersabda: “Suaminya.” (HR Al-Bazzar dan Al-Hakim)
Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.: “Seorang perempuan telah datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai
Rasulullah, hamba adalah utusan perempuan-perempuan menghadap Tuan,
bagi menanyakan perkara bahawa jihad, berperang di medan peperangan
kerana membela pada jalan Allah dan agama telah difardhukan ke atas
lelaki, jika mereka menang mereka dapat harta tawanan, dan jika mereka
dibunuh mereka hidup di sisi Tuhan mereka dan makan rezeki di sana, dan
kami kaum perempuan menjaga dan membantu mereka, maka apa yang kami
dapat daripada perbuatan tersebut?”
Rasulullah SAW bersabda: “Anda
sampaikan kepada perempuan-perempuan yang anda jumpa, bahawa taat
kepada suami, dan mengakui hak-hak suami itu sama dengan pahala
berperang dengan musuh- musuh Islam di medan peperangan, tetapi sedikit
sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.” (HR Al-Bazzar dan At-Thabrani).
Hadis-hadis
di atas menerangkan betapa memelihara dan menghormati hak suami serta
ketaatan isteri terhadap suami amat dititikberatkan oleh agama Islam.
Hatta jika suami itu berkedudukan rendah berbanding dengan isteri,
umpamanya suami sebagai buruh sementara isteri pula guru, doktor dan
seumpamanya, namun kedudukan atau martabat suami sebagai pemimpin atau
ketua keluarga tetap tidak terjejas sama sekali.
Oleh
yang demikian, isteri tidak boleh beranggapan bahawa dengan
kedudukannya yang lebih baik membolehkannya bertindak sesuka hati
seperti membelakangkan suami atau mengambil alih peranan suami sebagai ketua dalam keluarga. Jika ini berlaku, ia amat bercanggah dengan syariat Islam, sebagaimana firman Allah SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.” (QS An-Nisa’: 34)
Bagi
isteri yang tidak mentaati atau enggan menjalankan tugas dan
tanggungjawabnya dengan sempurna pasti akan menerima balasan di akhirat
kelak sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Rasulullah SAW
ketika Baginda diisra’kan ke langit dimana Baginda telah diperlihatkan
dengan neraka yang kebanyakan penghuninya terdiri daripada kaum wanita.
Sebagaimana yang diceritakan oleh Saidina Ali k.w. dalam satu riwayat: “Suatu hari aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati Baginda sedang menangis. Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apa yang membuatkan tuan menangis?" Baginda menjawab: “Wahai
Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan
daripada umatku diseksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu
aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat." Saidina Ali k.w. bertanya: “Apa yang anda lihat, wahai Rasulullah?” Rasululah SAW bersabda: “Aku
lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya, sedang api
neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya dan aku lihat
seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih
otak kepalanya dan aku lihat pula seorang perempuan yang tergantung dua
kakinya dalam keadaan terikat dan dilumurkan minyak tanah pada seluruh
badanya lalu dituangkan air panas pada lehernya……”
Anakandanya Siti Fatimah r.a. berkata: “Khabarkan kepadaku apa yang menyebabkan mereka diseksa?” Baginda bersabda: “Adapun
perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke
dalam lehernya itu kerana dia sering menyakiti hati suaminya. Sementara
perempuan yang tergantung dengan rambutnya sehingga mendidih otak
kepalanya adalah disebabkan dia tidak mahu menutup aurat (rambut)
daripada lelaki lain. Adapun perempuan yang tergantung dengan dua
kakinya itu adalah disebabkan dia keluar rumah tanpa izin suaminya….”
Sungguh
amat dahsyat seksaan yang akan diterima, jika isteri mengabaikan
hak-hak suami, tidak menghormatinya, apatah lagi menyakiti hatinya.
Sebenarnya
bukan tidak boleh para isteri menegur suami, tetapi ia memerlukan masa
yang sesuai dengan dibawa berbincang, ketika keadaan mengizinkan. Bukan
dengan membebel sepanjang hari. Tetapi apa yang berlaku hari ini ialah
adanya segelintir isteri yang tergamak bercakap kasar dan mengherdik
suaminya kerana tidak mendapat apa yang diinginkan, sehingga
kadang-kadang sampai tidak bertegur sapa dan bermasam muka.
Lebih
dahsyat dan buruk lagi apabila isteri membanding-bandingkan suaminya
dengan suami orang lain yang mampu memberikan permintaan isterinya,
sekali gus dilabelkan pula sebagai suami mithali. Betapa rendahnya
martabat suami. Jadi, suami mana yang tidak tersentuh dengan
ungkapan-ungkapan sedemikian ?
Sebenarnya
bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami, tetapi
janganlah sampai membebankan mereka. Apalah gunanya, jika suami
berhutang keliling pinggang hanya untuk memenuhi hasrat isteri. Mintalah
mengikut kemampuan suami dan sentiasa bersifat ‘qanaah’ atau merasai
cukup dengan apa yang diberikan, kerana bagi isteri yang sedemikian
akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Sebaliknya, bagi
isteri yang tidak pernah menghargai atau bersyukur, Allah SWT tidak
akan memandang kepadanya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya." (HR An-Nasa’i)
Islam
juga menyarankan supaya para isteri melakukan kerja-kerja rumah seperti
memasak, mencuci pakaian, mengasuh dan menjaga anak-anak, melayani
kehendak suami dan sebagainya dengan penuh ikhlas dan tabah. Mungkin
bagi setengah orang, agak sukar untuk dilaksanakan apatah lagi dalam
situasi zaman sekarang di mana isteri juga bekerja. Namun percayalah, ia
bukan saja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar
jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.
Marilah
kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Rasulullah SAW iaitu
Siti Fatimah az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang
suri rumahtangga tanpa pembantu rumah. Suatu hari, Fatimah telah
meminta suaminya Saidina Ali k.w. supaya menemui Rasulullah SAW dan
meminta jasa baik Baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan
perang sebagai pembantu rumah mereka.
Rasulullah
SAW bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana
semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu tidak menjadi
milik Baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin. Baginda
tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya.
Permintaan
Fatimah itu membimbangkan Baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang
dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah
seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu
dilaksanakannya.
Pada sebelah malamnya Baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: “Apakah
kamu berdua (Ali dan Fatimah) suka kepada pemberian yang akan ku
berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta pada
siang hari tadi?”
Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya. Rasulullah
SAW menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah,
Alhamdulillah dan Allahu Akbar sebanyak 33 kali setiap hari sebelum
tidurnya.
Semenjak
itu wirid yang diajarkan oleh Rasulullah SAW telah menjadi amalannya
dan suaminya. Hasilnya Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh
kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat,
malah merasa cukup bahagia melakukannya.
Apa
yang berlaku pada hari ini, hampir sebahagian besar keluarga mempunyai
pembantu rumah, yang bertanggungjawab menguruskan semua kerja-kerja
rumah, termasuk menyediakan makanan, pakaian dan sebagainya. Tanpa
pembantu terasa pincang pentadbiran rumahtangga dan banyak perkara yang
tidak dapat diuruskan dengan baik dan teratur. Kenapa? Sudah pasti
jawapannya mudah, tidak cukup masa untuk melakukan kerja-kerja tersebut
terutamanya bagi wanita yang berkerjaya.
Adakah
jawapan itu tepat? Kaum wanita harus sedar, selaku isteri, ibu dan juga
wanita yang berkerjaya mereka harus pandai dan bijaksana dalam mengatur
dan membahagikan tugas dan masa. Jika di amat-amati betapa ruginya
selama ini bagi isteri yang membiarkan kerja-kerja rumah ditangani oleh
pembantu rumah. Betapa tidaknya, jika
kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri dengan hati yang ikhlas, dengan
mudah saja mereka mendapat ganjaran atau pahala yang berlipat ganda.
Bagi
para suami pula, sifat tolak ansur dan saling bekerjasama amat
diharapkan. Isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan
untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami.
Jadi apalah salahnya, kiranya para suami bersama-sama membantu
kerja-kerja di rumah. Bukankah ini salah satu ciri keluarga harmoni?
Keharmonian
rumah tangga akan terbentuk jika suami dan isteri saling faham
memahami, bekerjasama, bertolak ansur, berunding dalam menyelesaikan
masalah dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu tanamkan ciri-ciri yang membawa keharmonian berumahtangga itu, agar kita akan hidup bahagia di dunia dan akhirat.
Wallahua’lam.

Comments
Post a Comment
Terima kasih atas teguran dan nasihat anda. Saling berpesan-pesan agar Allah kasih dan sayang pada kita semua.