BAHAGIA YANG DIRASAI RASULULLAH S.A.W.
Berkata Anas bin Malik RA:
"Saya telah menjadi khadam
Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas barang
yang saya kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Mengapa tidak engkau
kerjakan?". Tidak pernah pula baginda berkata pada barang yang tidak ada:
"Alangkah baiknya kalau barang itu ada". Kalau pada suatu ketika
terjadi perselisihan saya dengan ahlinya, dia berkata kepada ahlinya itu.
"Biarlah sebab apa yang telah ditakdirkan Allah mesti terjadi."
Memikirkan bunyi hadis yang diriwayatkan Anas itu, dapatlah difikirkan
pula apa ertinya redha, yang telah
berkali-kali kita tuliskan sebelum ini. Dapatlah diketahui hal ehwal Rasulullah
itu. Dia sendiri, setelah sempurna makrifatnya dengan Allah, tidaklah dia lupa
Yang Maha Kuasa itu ialah Dia. Dia yang mentadbirkan. Dia yang menyusun,
mengatur, dan alam ini terlingkup kita di dalamnya, berhaklah Dia bertaharruf,
berbuat sekehendak hatiNya di atas milikNya itu.
Nabi SAW penuh kepercayaan bahawa Tuhan bijaksana, tidaklah Dia
menentukan satu keputusan di luar pertimbangan seadil-adilnya. Dia menyerah
kepadaNya, lebih daripada penyerahan hamba kepada penghulu. Meskipun banyak
cubaan yang dijatuhkan atas dirinya, namun dia tidak berhenti selangkah dia
haram surut, setapak dia tidak kembali. Dia terima apa yang ada, tidak
mengaduh, tidak merintih dan tidak menyesal. Jika bukit teguh pada tempatnya,
tiada bergoyang oleh terpaan angin dari segenap penjuru, maka keteguhan hati
Rasulullah jika dihembus angin kehidupan, lebih dari teguhnya bukit, sebab jika
gempa datang, bukitpun bergoyang juga.
Cubalah perhatikan kehidupan junjungan kita itu. Segenap alam gelap
gelita, satu pun tak ada tanah tujuan dari perjalanan bangsa manusia. Dia
diutus seorang dirinya ke dunia ini, tak berkawan, tak berteman, ahli rumahnya
sendiripun 'masih orang lain'. Kekafiran, kederhakaan kepada Tuhan, kelupaan
dari kebenaran, membelakangi yang hak.
Cubalah kenangkan bagaimana hidupnya yang dibenci, dihina dan dimaki,
sampai lari menyembunyikan diri kalau perlu. Pernah kakinya luka dan mengalir
darah membasahi terompahnya kena pukulan orang, disangkut orang badannya dengan
kulit unta ketika mengerjakan solat. Dia terima itu dengan diam dan tenang.
Ketika kembali dari perlawanan ke Thaif yang hampir saja membahayakan
jiwanya itu, sebab yang empunya rumah tempatnya bertemu sendiri telah
memberitahu kepada penduduk 'bahaya' pengajaran yang dibawanya, sehingga dia
dipukul orang. Ketika akan pulang ia telah bertemu dengan seorang malaikat,
lalu baginda ditanyai, sudikah dia kalau malaikat itu membinasakan umat yang
menolak pengajarannya itu. Dengan lemah lembut baginda menolak tawaran itu,
dengan perkataan bahawasanya orang-orang yang memusuhinya itu adalah orang tua
yang tiada baginda menolak tawaran itu, dengan perkataan bahawasanya
orang-orang yang memusuhinya itu adalah orang tua yag tiada baginda harapkan
lagi, moga-moga anak cucu turunan mereka kelak yang akan menerima faham ini.
Jawapan baginda itu pun terbuktilah, sebab ternyata bahawa panglima-panglima
dan pahlawan-pahlawan yang menurutkan jejaknya kemudian hari, terdiri dari
angkatan muda, anak cucu orang-orang yang menghalangi dahulu.
Dia keluar dari rumah, ke dalam Masjidil Haram. Kalau tak berhasil di
sana, dia pergi ke atas bukit Syafa atau Marwah. Tidak pula hasil di sana, dia
pergi ke Mina, ke Jumratul Aqaba di waktu musim haji sambil menunggu dengan
hati yang tetap, kalau-kalau ada dari kabilah lain atau kampung lain yang suka
menerima pengajarannya itu. Selalu dia serukan: "Siapa yang suka membelaku? Siapa yang suka menolongku?"
Begitu jalan yang dilaluinya, seandainya bukan Nabi, mahulah agaknya dia
kehilangan kesabaran dan dia akan mahulah agaknya berkata: "Ya Rabbi, bukankah Tuhanku telah berjanji hendak menolong
hambaMu, manakah pertolongan itu kini? Bukankah sudah patut saya menerimanya?"
Di dalam pertempuran siasat yang masyhur di Hudaibiyah itu, yang kaum
Quraisy di sana telah mengemukakan janji-janji yang amat pincang menurut
pandang selintas lalu. Umar telah berkata: "Bukankah
kita berdiri di atas kebenaran? Mengapa kita hendak mendatangkan kehinaan atas
agama kita?"
Rasulullah saw, menjawab dengan pendek tetapi jitu: "Saya ini hamba Allah, dan Allah tidak akan mengecewakan
daku."
Kalau ada yang menyangka pada masa itu, bahawa perjanjian itu melemahkan
pihak Islam, bagi Rasulullah SAW, adalah satu kemenangan besar. Sebab walaupun
macam mana corak perjanjian, namun sekarang kaum Quraisy tidak memandang lagi
bahawa golongan kaum Muslimin sebagai golongan 'pemecah', tetapi duduk sama
rendah, tegak sama tinggi, telah boleh mengikat satu perjanjian politik.
Cubalah perhatikan kalimat yang diucapkan Rasulullah untuk
mententeramkan fikiran Umar bin Khattab itu: "Saya ini hamba Allah, dan
Dia tidak akan mengecewakan daku".
Ertinya, saya hamba Allah (Ana Abdullah), bahawa saya ini di bawah
kekuasaanNya, di bawah perintahNya, digantungNya tinggi, dibuangNya jauh.
Dengan dasar itu dia berjuang: "Saya ini hamba Allah, dan Dia tidak
akan mengecewakan daku".
Kadang-kadang lapar perutnya kerana tidak ada yang akan dimakan.
Kadang-kadang sebulan lamannya dapurnya tak berasap. Dia tidak mengeluh,
malahan diambilnya saja batu, diikatkannya kepada perutnya. Padahal kunci Masyriq dan Maghrib telah diserahkan ke
tangannya.
Sahabat-sahabatnya yang setia mati terbunuh, seorang di antaranya bapa
saudara baginda sendiri Hamzah, pahlawan yang gagah berani. Dibedah perutnya,
diambil jantungnya, dan dimakan, dan dihisap orang darahnya. Nabi melihat
semuanya itu dengan tidak merasa cemas. Luka jari tangannya, patah saingnya,
hampir pecah kepalanya. Dia bangun kembali dan berjuang terus sampai menang.
“Saya hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku.”
Anak-anaknya meninggal, maka ditumpahkannya kasih sayang kepada
cucu-cucunya dari anak perempuannya Fatimah, iaitu Hasan dan Husain. Diambilnya
perintang hati. Walaupun dia sedang mengerjakan solat dipanjat punggungnya oleh
kedua-dua anak-anak itu. Dia telah tahu dalam ilham Ilahi bahawa
perkara-perkara yang besar akan dihadapi kedua anak itu kelak. Tetapi supaya
orang lain tidak bergoncang hati, hanya dikatakannya saja, bahawa salah seorang
dari anak itu akan mendamaikan perselisihan yang terjadi di antara dua golongan
yang besar. Tidak ditegaskan bahawa salah seorang anak itu iaitu Husain akan
mati dalam satu pertempuran yang hebat.
Rasulullah sempat mencintai isterinya yang tua, Khadijah. Kebetulan
meninggal perempuan itu di waktu baginda amat perlu kepada pertolongan dan bujukannya.
Maka dihadapkannyalah kasih sayangnya kepada Aisyah anak sahabatnya yang setia,
Abu Bakar. Tiba-tiba dituduh orang pula isteri yang tercinta itu berbuat
pekerjaan yang merosakkan hatinya.
Dia teguh: “Saya hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan daku.”
Baru pekerjaan hampir selesai, tiba-tiba timbul berturut-turut
orang-orang yang bersikap hendak melawannya, hampir semuanya mendakwakan
dirinya Nabi pula. Timbul Musailamah Alkazzab, Aswab al Insiy, Thulaihah Al
Asadi, Sajah binti Al Harits, semuanya mendakwakan dirinya Nabi.
Dia serukan kebenaran, meskipun dia dituduh pendusta. Diterangkannya
agama yang baik, dikatakan orang dia gila. Namun dia tak bergeser dari
keyakinannya. Tetapi pada keredhaan dan keteguhan. Dia percaya, dia hamba
Allah, Allah tak akan mengecewakannya.
Dalam kepercayaan yang penuh itulah datang kepadanya penyakit yang
berat, awal dari kematian. Dia meninggal dalam keyakinan bahawa dia hamba
Allah, bahawa Allah tak akan mengecewakannya. Dia menutup mata melepas nafasnya
yang penghabisan, setelah bermohon kembali kepada Ilahi supaya diizinkan duduk
bersama-sama dengan teman sejawatnya yang paling tinggi, iaitu nabi-nabi dan
rasul-rasul yang dahulu daripadanya.
Dia meninggal di atas sebuah
hamparan yang telah tua, berselimut kain kasar, sedang minyak penghidup lampu
semalam itu pun telah habis tengah malam, tak dapat ditambah lagi, kerana tidak
ada minyak lagi.
“Saya ini hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan saya".
Bilamana Nabi Nuh AS melihat kesesatan umat yang didatanginya, serta
perlawanan yang mereka hadapkan ke dirinya, beliau berkata: "Jangan ditinggalkan atas bumi ini tempat-tempat buat
tinggalnya orang kafir".
Maka dalam hal yang demikian Nabi Muhammad SAW telah meminta kepada
Tuhan: Ertinya: "Ya Tuhanku! Berilah
petunjuk atas hambaMu, kerana mereka tidak mengetahui".
Musa Kalimul-Lah ketika melihat kaumnya telah berpaling dari menyembah
Allah kepada menyembah Injil, telah berkata kepada Tuhan: "Ini tidak lain dari fitnahMu jua, ya Tuhan!"
Nabi Muhammad SAW ketika melihat kesesatan kaumnya dan mereka menyesali
Tuhan, telah berkata: "Allah tidak mengubah
nasib suatu kaum, kalau tidak kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka".
Isa Ruhul-Lah AS pernah berkata: "Kalau
Engkau berkuasa ya Tuhanku, memalingkan kematian daripada makhlukMu,
palingkanlah dia daripadaku."
Sedang Nabi Muhammad SAW, ketika disuruh memilih antara dua perkara,
iaitu hidup kekal dalam dunia, atau mati ketika hari kiamat saja, atau mati
seperti orang lain mati, telah dipilihnya kematian, dipilihnya Rafiqil A'la.
Nabi Sulaiman AS telah memohon kepada Tuhan: "Ya Tuhanku, anugerahi kiranya akan daku suatu kekuasaan".
(QS Shad: 35).
Nabi Muhammad SAW telah memohon kepada Tuhan: "Ya Rabbi, jadikanlah rezeki ahli rumah Muhammad sekadar
yang akan dimakan sehari-hari".
Demikianlah wahai orang yang hendak mencapai darjat Tasauf sejati.
Demikianlah QANAAH yang telah
dicontohkan oleh orang yang kenal erti wujud, dan kenal erti yang MAUJUD. Cita-citanya, untuk kemaslahatannya
sendiri dikalahkan oleh cita-cita untuk maslahat umatnya. Tenang segala gelora hatinya, tenteram perjalanannya
menuju keredhaan Tuhannya, dan dia tidak putus berusaha.
Wallahua’lam
(Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka)

nice post
ReplyDeleteBeautiful blog
ReplyDeletegood work
ReplyDelete